Kuala Lumpur: Pasukan Alfa Cafe MIBJ menyasarkan sekurang-kurangnya satu daripada empat pasukan yang dihantar mampu melangkah ke final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bagi Zon Utara.

Pengurus pasukan, Fareez Othman berkata, penyertaan empat pasukan itu bertujuan memberi peluang kepada pemain muda menguji kemampuan selain memburu keputusan terbaik dalam kejohanan berkenaan pada Jumaat dan Sabtu ini.

"Kalau boleh, kita nak masuk final. Daripada empat pasukan yang dihantar, harap salah satu daripadanya dapat melangkah ke peringkat itu jika ada rezeki," katanya yang mengambil nama pasukan bersempena restoran miliknya.

Menurutnya, pemain yang membarisi pasukan berkenaan kebanyakannya datang daripada latar belakang sekolah berbeza dan dihimpunkan menerusi jaringan jurulatih yang menguruskan persiapan mereka.