PETALING JAYA – Baru dua hari bergelar suami, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali menjalankan tugas apabila dilihat hadir di Dewan Rakyat hari ini.
Kehadiran beliau mencuri perhatian pengguna media sosial selepas Syed Saddiq berkongsi gambar berada di dalam Dewan Rakyat sambil mengikuti ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Meneliti ucapan YB Ketua Pembangkang @hamzahzainudin_ di Parlimen,” tulis Syed Saddiq.
Perkongsian itu kemudian tular apabila seorang pengguna Threads membandingkan komitmen Syed Saddiq dengan pengalamannya sendiri ketika baru berkahwin.









