IPOH – Kerja-kerja penurapan jalan melibatkan kos sebanyak RM30 juta melibatkan 600 jalan di seluruh Perak akan dilaksanakan segera hasil penjimatan bajet selama beberapa tahun oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut merupakan hasil penjimatan yang dilaksanakan KPKT sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini disalurkan semula demi meningkatkan kemudahan serta keselesaan rakyat.

“Setiap ringgit yang dijimatkan mesti dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik. Inilah sentuhan kasih Kerajaan Madani kepada rakyat Perak.

“Kita mahu hasil pengurusan kewangan yang berhemah dapat dirasai sendiri oleh rakyat dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak ke-24 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE