PETALING JAYA – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Konsert Tradisional Gema Bumantara di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam sebagai bukti sokongan kerajaan terhadap khazanah warisan tempatan.

Menurut pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin, 47, konsert tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi platform untuk menyemai rasa cinta rakyat Malaysia terhadap seni tradisional.

“Terima kasih PMX kerana hadir menyokong usaha kami anak seni yang menaikkan martabat lagu tradisional.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi ingin mengajak semua menghayati indahnya budaya dan jati diri kita terhadap seni budaya Melayu, Cina dan India serta senusantara,” katanya dalam satu hantaran InstaStory hari ini.