KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menekankan kepentingan membina naratif komunikasi yang strategik sebelum krisis berlaku bagi melindungi reputasi organisasi serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata krisis boleh berlaku tanpa diduga, justeru organisasi perlu mempunyai kesiapsiagaan komunikasi yang kukuh, selain bertindak pantas dan profesional dalam menguruskan sesuatu isu.

Beliau berkata perkara itu antara penekanan dalam penganjuran Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED 2.0) Peringkat Kebangsaan 2026 yang menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh komunikasi strategik serta pengurusan reputasi organisasi.