Sungai Petani: ALFA Cafe MIBJ D yang muncul juara Liga Sepak Takraw Nasional Mekdi 2026 bagi Zon Utara selepas menewaskan pencabar dari pasukan Highlander A dari Perak dalam aksi final sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang tinggi.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari di Arena of Sports, Sungai Petani itu berjalan lancar dengan sambutan menggalakkan daripada pemain, jurulatih, ibu bapa dan keluarga yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Pengarah Kanan Komunikasi Korporat McDonald's Malaysia, Shamsidar Yahya berkata, sambutan diterima di Zon Utara amat memberangsangkan, sekali gus membuktikan sukan sepak takraw masih mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dan keluarga mereka.