Kuala Lumpur: Jerebu beracun akibat kebakaran hutan di Indonesia mencetuskan lonjakan permintaan terhadap tong oksigen dan penulen udara di seluruh rantau ini, kata pengeluar ketika mereka bertungkus-lumus membekalkan peralatan penting bagi menyelamatkan nyawa.
Keadaan jerebu berlarutan berbulan-bulan yang menyelubungi sebahagian Asia Tenggara memaksa penutupan sekolah dan menyumbang kepada peningkatan aduan berkaitan masalah pernafasan.
Sekali gus menyebabkan banyak keluarga bergegas membeli peranti bagi memastikan udara di dalam rumah kekal bersih.
Di AA Alive, sebuah syarikat peralatan perubatan yang beroperasi di luar ibu kota, pekerja bertugas pada kapasiti penuh bagi menghantar tong oksigen, manakala pihak pengurusan menyatakan jualan mencatatkan lonjakan ketara.









