LANGIT yang dahulunya membiru kini bertukar kelabu. Sejak Ogos lalu, rakyat Malaysia terpaksa berdepan pencemaran udara akibat jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera, Indonesia.
Keadaan semakin membimbangkan apabila masalah tersebut turut menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian masyarakat. Isu yang seakan-akan menjadi masalah berulang itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah turut mendapat perhatian golongan selebriti tanah air.
Ada yang lantang menyindir, ada pula meluahkan kebimbangan terhadap kesihatan, manakala sebahagiannya memilih untuk menegur secara berhemah tanpa mengeruhkan hubungan dua negara.
Namun, apa yang lebih menghangatkan keadaan ialah kenyataan Ketua Badan Komunikasi Kerajaan Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan, yang mendakwa hutan di negaranya turut membekalkan oksigen kepada Malaysia dan Singapura.









