KUALA LUMPUR: Modus operandi kumpulan pengganas kini dikesan semakin licik dan membimbangkan apabila mereka mula menyasarkan kanak-kanak serta remaja seawal usia 12 hingga 15 tahun melalui platform permainan video dalam talian, Roblox.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, taktik penyebaran fahaman ekstremis itu kini beralih ke alam maya bagi mempengaruhi pemikiran generasi muda negara.
Beliau berkata, jika dahulu proses perekrutan dilakukan secara bersemuka menerusi sesi tertutup, kini golongan muda didekati melalui ruang permainan digital sebelum dibawa ke kumpulan perbualan tertutup untuk proses indoktrinasi.
“Kita dapat kesan budak-budak umur 12, 14, 15 tahun sudah mula direkrut melalui permainan Roblox. Di situ mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan keganasan,” katanya ketika menjadi panelis Konvensyen Mawlid Perdana 6.0 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.









