Ayer Keroh: Sekurang-kurangnya sembilan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada pelbagai parti dikaitkan dengan kemungkinan digugurkan, sekali gus membuka ruang kepada muka baharu untuk menggalas cabaran di kawasan masing-masing.
Gelombang perubahan calon yang dijangka mewarnai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini adalah berdasarkan kepada faktor prestasi, tempoh perkhidmatan, percaturan pembahagian kerusi hinggalah strategi parti memperluas pengaruh, sekali gus menjadikan kedudukan sekurang-kurangnya sembilan penyandang kini menjadi perhatian menjelang pengumuman senarai calon bermula minggu depan.
Antara kawasan yang dijangka menyaksikan perubahan ialah Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Sungai Udang, Pengkalan Batu, Kesidang, Bemban, Serkam dan Sungai Rambai.








