PARIS: Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersetuju untuk mempercepatkan pelepasan lebih 20 juta tong diesel serta baki simpanan minyak daripada rizab kecemasan bagi meningkatkan bekalan dan meredakan lonjakan harga bahan api di pasaran global.

Lapor Reuters, langkah itu diambil selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menggunapakai rizab strategik masing-masing atau berdepan risiko larangan eksport diesel dari AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November ini.

Harga diesel melonjak ke paras tertinggi di beberapa pasaran dunia susulan gangguan bekalan akibat krisis di Selat Hormuz, perang Iran serta konflik Russia-Ukraine. Keadaan ini sekali gus mencetuskan ancaman inflasi dan beban kos sara hidup yang semakin mencabar buat kerajaan dan pengguna.