Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus membuktikan dominasi dalam bola sepak tempatan apabila lapan pemainnya menghuni senarai 10 pemain dengan nilai pasaran tertinggi Liga Malaysia (Liga M), dengan jumlah keseluruhan mencecah RM29.2 juta.

Angka itu jelas menggambarkan kelebihan Harimau Selatan berbanding pencabar domestik, sekali gus memperlihatkan jurang kualiti yang semakin ketara apabila hanya dua pemain Selangor FC (SFC) berjaya menembusi senarai berkenaan.

Pemerhati bola sepak yang juga ejen bertauliah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah, mengakui JDT kini berada pada tahap berbeza dan jauh meninggalkan kelab lain dalam saingan domestik, berdasarkan kualiti serta nilai pasaran pemain yang dimiliki.