KUALA LUMPUR: Dialek Sabah yang pekat bukan sahaja menjadi identiti pelakon, Tracie Sinidol, malah pernah mengundang sindiran ketika dia mengembangkan kerjaya dalam industri lakonan tanah air.

Bagaimanapun, pelakon berusia 25 tahun itu memilih untuk tidak terlalu mengambil hati, sebaliknya menilai setiap teguran secara rasional, terutama jika mampu membantunya memperbaiki kelemahan diri.

Tracie berkata, dia mengamalkan prinsip mengambil perkara yang bermanfaat daripada kritikan dan mengetepikan kata-kata yang melampaui batas.

"Pernah juga saya berdepan dengan sindiran, tetapi saya ambil yang jernih dan buang yang keruh. Kalau teguran itu benar-benar membantu memperbaiki diri, saya ambil. Kalau dirasakan sudah keterlaluan, biarkan sahaja.