SHAH ALAM: Pelakon, Tracie Sinidol, berkata dia mengamalkan tradisi untuk memberikan kek kepada ibunya di kampung semasa meraikan ulang tahun kelahiran dirinya sendiri sejak lima tahun lalu.

Tracie, 25, menyifatkan tarikh kelahirannya merupakan simbolik bagi menghargai pengorbanan ibu yang melahirkan dan membesarkannya sehingga hari ini.

“Setiap kali hari lahir, saya akan pastikan ada kek untuk mak saya. Saya mula buat tradisi ini sejak tahun 2019 atau 2020 lagi.

“Walaupun saya berada di Kuala Lumpur, saya akan tempah secara dalam talian dan minta orang hantar ke rumah di Sabah.

“Bagi saya, hari lahir kita bukan hanya tentang kita, tetapi tentang ibu juga. Pada tarikh itulah dia bertarung nyawa dan berjuang untuk melahirkan kita ke dunia. Jadi, saya mahu raikan dia sebagai tanda peringatan terhadap segala pengorbanannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.