KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbangga dan mengucapkan tahniah atas pencapaian bersejarah beregu wanita negara, Low Zi Yu-Genevie Lim yang muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2026 di Kaherah, Mesir, semalam.

Jelas Anwar, kejayaan itu memberi petanda positif buat skuad badminton negara dan berharap gandingan itu dapat meneruskan momentum cemerlang pada kejohanan akan datang.

"Tahniah Zi Yu dan Genevie atas kejayaan muncul juara beregu perempuan di Kejohanan Badminton Remaja Dunia. Satu sejarah baharu buat badminton negara. Syabas, teruskan momentum dan harumkan nama Malaysia!" katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.

Semalam, Zi Yu-Genevie mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai acara berkenaan selepas mengalahkan beregu Jepun, Nijika Kamata-Shizuku Kashio, 15-7, 9-15, 15-12.