KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dari segi konsistensi dan mentaliti selepas tersingkir di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark, semalam.
Menurut Pei Jing, aspek mentaliti menjadi antara perkara positif apabila mereka semakin menunjukkan perkembangan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, terutama ketika berdepan lawan yang lebih baik.
"Kami berpuas hati dengan prestasi secara keseluruhan kerana permainan semakin baik dari perlawanan pertama sehingga ke separuh akhir. Walaupun tidak berjaya ke final, kami tetap berbangga dengan keputusan ini.
"Saya rasa perkara paling penting ialah mentaliti. Kami sedang menuju ke arah itu, perlahan-lahan tetapi pasti," katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.










