KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghargai sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Menerusi hantaran Instagram Story (IGs), Siti menyifatkan kehadiran Anwar menyuntik semangat kepada penggiat seni sepertinya.

"Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana hadir menyokong usaha kami anak seni yang berusaha menaikkan martabat lagu tradisional.

"Konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi ingin mengajak semua menghayati indahnya budaya dan jati diri kita terhadap seni budaya Melayu, Cina dan India serta senusantara," katanya pada hantaran itu.