PETALING JAYA: Persatuan Drama Vertikal Malaysia (VERTIMA) bakal menganjurkan program santai dan komuniti, ‘VERTIMA Social Pickleball’ yang akan berlangsung pada 18 Oktober.

Acara yang dijadualkan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang itu akan bertempat di Connect22, Setapak dan dijangka dimeriahkan dengan kehadiran barisan selebriti serta pelakon drama vertikal tanah air.

Membawa tema ‘Play. Connect. Collaborate.’ perjumpaan tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran positif bagi membolehkan penggiat industri kreatif, pengamal media serta masyarakat awam saling berinteraksi dan mengukuhkan jaringan kerjasama.

Exco Media dan Hubungan Antarabangsa VERTIMA, Puan Pasha Rahim berkata, program di bawah inisiatif ‘Grow with VERTIMA’ ini merupakan komitmen berterusan persatuan dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakan industri.