Pasir Puteh: Ibu dan bayi perempuannya yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Gua Musang, petang semalam, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad, petang ini.
Jenazah Maslina Md Shafei, 33, dan anaknya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadli, 2 bulan akan dikebumikan berdekatan pusara ibu saudara mereka, Saudah Awang Besar, 65, yang meninggal dunia pada pagi sama hari kejadian.
Sepupu mangsa, Syamil Haiqal Saari, 33 berkata, Maslina yang masih dalam tempoh berpantang pulang ke kampung untuk menziarahi jenazah Saudah yang meninggal dunia jam 11 pagi semalam.
Katanya, sebaik menerima maklumat, Maslina yang tinggal di Kuala Lumpur bertolak pulang ke Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh, untuk memberikan penghormatan terakhir buat ibu saudaranya itu.








