Kota Tinggi: Seorang lelaki ditemui maut di tepi jalan berhampiran sebuah rumah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 21, Felda Adela menghala ke Sungai Rengit di sini, hari ini.

Lelaki terbabit dipercayai maut ketika cuba melakukan kegiatan mencuri kabel elektrik di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 berhubung penemuan seorang individu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 6.46 pagi.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi kemudian hadir ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan.