SETELAH melakukan kajian terhadap lokasi, Najib Ahmad Bamadhaj menghabiskan kira-kira tiga jam untuk merakam gambar taman Claude Monet di Giverny, Perancis yang menjadi sumber inspirasi kepada siri The Promised Garden. Kemudian, dia pulang ke tanah air untuk menghasilkan lukisan berdasarkan pemerhatiannya.
Bagi pengkarya dari Johor itu, proses kreatif bukan sekadar memindahkan pemandangan ke atas kanvas, sebaliknya turut melibatkan penyelidikan dan tafsiran peribadi terhadap subjek dipilih.
Menerusi siri The Promised Garden, dia menyelitkan rama-rama keemasan menggunakan helaian emas (gold leaf) sebagai simbol pengkarya seni yang mungkin rapuh, tetapi tetap mempunyai visi dan impian.
Kilauan emas itu turut membawa makna yang lebih mendalam, iaitu kecenderungan masyarakat mengagumi keindahan dan kejayaan tanpa menyedari perjuangan serta kesukaran dilalui untuk mencapainya.









