Dar Es Salaam: Tanzania memperkukuh langkah saringan dan pemantauan kesihatan terhadap pengembara antarabangsa susulan penularan wabak penyakit virus Ebola (EVD) di Republik Demokratik Congo (DR Congo), lapor Xinhua.

Langkah itu diambil susulan satu kes yang dilaporkan baru-baru ini di negara jiran Kenya, membabitkan seorang pesakit yang melakukan perjalanan dari DR Congo.

Menurut Nasihat Perjalanan No. 18 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada Sabtu, langkah yang berkuat kuasa serta-merta itu mewajibkan semua pengembara yang memasuki Tanzania melengkapkan borang pemantauan kesihatan secara dalam talian sebelum berlepas ke negara itu atau sebaik tiba.

Pengembara dikehendaki memberikan maklumat yang tepat menerusi portal dalam talian kementerian berkenaan serta menyimpan kod QR pengesahan atau nombor rujukan untuk tujuan semakan oleh pihak berkuasa kesihatan di pintu masuk, menurut nasihat itu.