SEBERANG PERAI – Seramai 36 mangsa terdiri daripada 10 keluarga dari Kampung Kubang Semang, di sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti selepas kediaman mereka ditenggelami air susulan hujan lebat, petang semalam.
Salah seorang mangsa, Ab Ghani Abdullah, 49, berkata, dia sekeluarga yang ketika itu berada di kampung mereka di Perlis dimaklumkan oleh pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bahawa rumah mereka telah dinaiki air mencecah paras pinggang.
“Memang pada mulanya rasa tak sedap hati sebab kawasan utara memang semuanya hujan lebat, kemudian pihak MPKK hantar gambar dalam WhatsApp, air tengah naik di kawasan rumah.
“Tak boleh nak buat apa dah, tak ada barangan yang sempat diselamatkan dan kami sekeluarga terus mendaftarkan diri di PPS kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya yang telah menyewa di rumah berkenaan sejak enam tahun lalu.










