IPOH: DAP menyasarkan mempertahankan kesemua tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu menjadi keutamaan parti bagi memastikan DAP Perak terus menyumbang kerusi untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, sasaran berkenaan juga selari dengan keyakinan parti itu untuk terus kekal dalam kerajaan negeri Perak selepas PRU16.

“Kita mahu mempertahankan tujuh kerusi Parlimen dan 18 DUN di Perak supaya kekal dan menang keseluruhannya. Ini tugas yang paling penting. Ini adalah seruan untuk kita masuk gelanggang PRU16,” katanya pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak Ke-24 di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.