Ramai umat Islam mengunjungi masjid atau surau untuk tujuan menunaikan ibadah tetapi peranan masjid sebenarnya lebih daripada itu.
Mesej utama yang perlu diketengahkan masjid dan institusi Islam perlu berperanan bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi juga sebagai institusi pembinaan akhlak, pemulihan nilai, penyatuan masyarakat dan penyelesaian masalah ummah.
Dalam menghadapi cabaran semasa seperti kemerosotan adab, krisis integriti, penyebaran fitnah, pengaruh negatif media sosial dan keretakan hubungan kekeluargaan, institusi Islam perlu memperkukuh pendekatan dakwah yang lebih menyeluruh, dekat dengan masyarakat dan berorientasikan penyelesaian.
Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Zuhaimi Abdul Rahim berkata, masjid perlu berfungsi sebagai pusat pembinaan akhlak dan integriti serta menjadi tempat membina insan yang amanah, jujur, berdisiplin dan bertanggungjawab.









