KOTA BHARU: Lebih 1,000 pelajar Kelantan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang melanjutkan pengajian di beberapa negara Asia Barat, dilaporkan selamat meskipun rantau itu berdepan situasi bergolak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, setakat proses pengajian masih berjalan dan masing-masing berada dalam keadaan terkawal.
“Buat masa ini, semua pelajar terbabit masih meneruskan pengajian seperti biasa dan kita sentiasa berhubung dengan pelajar-pelajar di sana secara dalam talian.
“Kerajaan Negeri Kelantan sendiri turut menyediakan tiga pegawai di sana khusus untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar kita,” katanya semasa sidang media penganjuran Karnival Rakyat Kelantan: Sambutan 36 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.









