​AMPANG: Dua lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum ditahan di sebatang jalan mati di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor awal pagi tadi bukan saja positif dadah, malah menaiki kereta klon.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada anggota kereta peronda (MPV), jam 4.36 pagi, berkaitan sebuah Subaru melarikan diri daripada pemeriksaan.

"MPV daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengejar kereta suspek bermula di Jalan Wangsa, Bukit Antarabangsa hingga ke ke sekitar Batu Caves, Gombak.

"Akhirnya, kedua-dua lelaki tempatan berusia 30-an yang menaiki kereta berkenaan dapat ditahan," katanya pada kenyataan.