Kuala Lumpur: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyasarkan penyertaan 2,000 peserta pada penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2026 yang bakal berlangsung di Padang Kawad, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, pada 5 Disember ini.
Memasuki tahun ketiga penganjuran, LKM 2026 bertemakan 'Luminous Run' dengan tagline 'Satu Langkah, Satu Hati' itu menawarkan konsep larian malam sejauh lima kilometer (5KM) yang menggabungkan elemen sukan, hiburan keluarga dan kebajikan.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk semangat perpaduan, malah menjadi platform mengumpul dana bagi meneruskan bantuan kebajikan serta pendidikan kepada anak-anak yatim dan yatim piatu di bawah jagaan yayasan itu.









