Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) terus berusaha menjana kecemerlangan bola sepak di negeri itu apabila menerokai kerjasama dengan Pusat Sukan Huanglong Zhejiang, China, Ahad lalu.

Kerjasama itu dijalin sempena penyertaan julung kali pasukan bawah 10 tahun (B-10) NSFC dalam Kejohanan Jemputan Bola Sepak Piala Xixi edisi ke-13 2026.

Delegasi Negeri Sembilan diketuai Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri apabila beliau mengadakan perbincangan meja bulat bersama wakil pusat sukan terbabit yang bertujuan meneroka peluang kerjasama dua hala dalam pembangunan sukan khususnya bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, antara perkara dibincangkan ialah pertukaran pasukan dan pemain muda, program kunjungan timbal balik antara kelab serta pasukan bola sepak sekolah, dan peluang pertukaran ilmu dalam kalangan jurulatih.