KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 7 Disember depan bagi mendengar permohonan semakan kehakiman oleh Perikatan Nasional (PN) bagi mencabar perintah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung aktiviti gabungan itu.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika mengesahkan perkara itu berkata tarikh itu ditetapkan menerusi prosiding e-Semakan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.

"Pendengaran itu dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Azizan Md Arshad pada 2.30 petang," katanya yang dihubungi.

RoS sebelum ini mengeluarkan perintah menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September lepas di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan kepada gabungan itu pada 22 September.