Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini memerintahkan pemilik dan pengasas Tanah Aina di Pahang, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil Sabri membayar ganti rugi RM100,000 kepada bekas Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Seri Azemi Kasim, berhubung kenyataan fitnah yang diterbitkan di Facebook (FB).

Pesuruhjaya Kehakiman, JD Kuldeep Kumar memerintahkan Shariffa Sabrina membayar kos RM40,000 kepada Azemi serta memadamkan semua hantaran berunsur fitnah berkaitan kes itu di akaun FB miliknya menggunakan nama Sabrina Syed dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Mahkamah turut menolak sepenuhnya tuntutan saman sivil difailkan Shariffa Sabrina, 64, selaku plaintif terhadap Azemi, 71; pemilik syarikat kontraktor, Chong Chin Yen, 53, dan syarikatnya, Lexus Integrated Wood Panel Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.