MELAKA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung saman fitnah susulan kenyataan video yang dimuat naik di media sosial pada September 2024.
Muhamad Akmal bagaimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini ketika Hakim Datuk Isa Aziz Ibrahim membacakan keputusan berhubung kes berkenaan.
Hakim dalam penghakimamnya berkata, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat oleh defendan menerusi video berkenaan membawa maksud memfitnah plaintif selain melampaui batas kritikan terhadap dasar awam.
Beliau berkata, defendan gagal membuktikan pembelaan komen yang adil dan keistimewaan bersyarat yang dikemukakan bagi mempertahankan kenyataan tersebut.









