GUA MUSANG: Dua lelaki masing-masing didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret , di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri komponen telekomunikasi di tapak pencawang FELDA Chiku 3, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Syahrul Mohamed Sarip, 40, dan Mohd Fahmi Mat, 31, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan mereka secara bersama didakwa mencuri komponen telekomunikasi di tapak pencawang FELDA Chiku 3 pada jam 3 petang 2 Oktober lalu.

Jika disabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.