Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan memulangkan kira-kira 176.18 Bitcoin (BTC) kepada sembilan mangsa skim pelaburan mata wang kripto Bitkingdom yang ditipu antara 2015 hingga 2016.

Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati kesemua pihak menuntut mempunyai hak pemilikan yang sah terhadap mata wang kripto yang dirampas pihak berkuasa.

Bitcoin berkenaan adalah sebahagian daripada 497.82 BTC bernilai AS$17.64 juta setakat 1 November 2023, yang dirampas daripada dua dompet digital milik Mohammad Fadino Khairuman dan Arsyan Ismail.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 12 Oktober, Mohd Arief berkata sembilan individu terbabit berjaya membuktikan mereka diperdaya untuk memasukkan Bitcoin ke dalam skim Bitkingdom yang menjanjikan pulangan harian kira-kira satu peratus.