Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh juga diarahkan membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menang saman fitnahnya terhadap Dr Akmal Saleh, dengan Mahkamah Tinggi memerintahkan ketua Pemuda Umno itu membayar ganti rugi berjumlah RM250,000.

Peguamnya, SN Nair, berkata Mahkamah Tinggi Melaka mengarahkan Akmal membayar pampasan itu kepada Kok kerana merosakkan reputasinya.

Kes itu berpunca daripada kenyataan yang dibuat Akmal pada September 2024 selepas Kok mempersoalkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau alkohol.

Kok memberi amaran bahawa cadangan itu boleh membebankan perniagaan, khususnya peniaga kecil. Akmal kemudiannya membalas dengan menggelarnya 'nyonya tua' dan mencadangkan supaya label 'tidak halal' ditampal pada dahi Kok.