KUALA LUMPUR: Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia memohon perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management Sdn Bhd diadakan susulan kegagalan mesyuarat terdahulu dilaksanakan.

Peguamnya, Ahmad Zayd Ahmad Zuber dari Tetuan Faisal & Zayd, berkata permohonan berkenaan yang dibuat pada 2 Julai 2026 bukan berasaskan sebarang dakwaan salah laku antara pihak terbabit, sebaliknya bertujuan mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan EGM syarikat itu berlangsung.

Beliau berkata, permohonan injunksi interim yang dikemukakan adalah bagi menghalang bapanya, Lee Chee Hin selaku responden kedua dan kakaknya, Lee Zii Yii selaku responden ketiga daripada membuat keputusan tertentu berkaitan kewangan serta pengurusan LZJ Management sementara pertikaian undang-undang masih berjalan.