KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines membatalkan semua penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan Jeddah serta Madinah, Arab Saudi, mulai 12 hingga 17 Oktober.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah berjaga-jaga berkenaan diambil susulan beberapa siri serangan terhadap lapangan terbang di Arab Saudi.

Sehubungan itu, penumpang yang terjejas boleh memilih sama ada mendapatkan bayaran balik penuh atau menukar tarikh penerbangan tanpa sebarang caj tambahan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh asal penerbangan masing-masing.

Permohonan untuk menjadualkan semula penerbangan atau mendapatkan bayaran balik boleh dibuat menerusi ruangan 'My Booking' di laman sesawang atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines.