Laporan PAC yang dibentangkan pada Julai lalu dedah beberapa kelemahan dalam pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS), termasuk lambakan kuota dan pengurusan subsidi. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memansuhkan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) secara berperingkat dan menyalurkan peruntukannya kepada bantuan lebih bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), susulan dakwaan ketirisan dan kelemahan pengurusan skim itu.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata, langkah itu perlu bagi memastikan wang rakyat digunakan secara lebih berkesan, terutama ketika kerajaan berdepan kekangan fiskal dan peningkatan kos membiayai hutang negara.

Jelasnya, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Julai lalu mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan COSS, termasuk lambakan kuota, pengurusan subsidi dan ketelusan pembayaran kepada kilang penapis serta syarikat pembungkus minyak masak.