KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia meneruskan penyusutan dan ditutup di bawah paras sokongan 1,600 pada hari ini ketika jualan ketara pelabur asing memberi tekanan terhadap saham wajaran tinggi sektor perbankan, kata penganalisis.

Pada 5 petang ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 12.01 mata atau 0.74 peratus kepada 1,595.75 berbanding paras penutup 1,607.76, Jumaat lalu.

Indeks utama itu dibuka turun 3.58 mata kepada 1,604.18 dan bergerak dalam julat 1,593.37 hingga 1,604.65 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 741 berbanding 322 manakala 482 lain tidak berubah, sebanyak 1,299 kaunter tidak diniagakan dan 35 kaunter digantung dagangannya.