BANGKOK: Mesej Malaysia pada Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di sini adalah jelas: ekonomi negara kini kembali rancak, disokong kestabilan politik, dasar jelas, serta pembaharuan berterusan yang mengukuhkan keyakinan pelabur di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata faktor-faktor ini telah membantu menarik pelaburan langsung asing (FDI), sementara ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik dan gangguan terhadap perdagangan global.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.2 peratus sejak dua tahun lalu, dengan pertumbuhan mencecah 5.7 peratus pada suku terkini tahun ini yang mencerminkan daya tahan industri negara serta peranan berterusannya dalam rantaian bekalan global.