KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital penting dalam pendidikan masa depan, namun penggunaannya perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, nilai kemanusiaan dan budi pekerti dalam kalangan murid, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perkongsian video di laman Facebook, Perdana Menteri berkata AI mempunyai keupayaan dari segi pengetahuan dan kepintaran tetapi tidak memiliki nilai, akhlak serta kemanusiaan seperti yang perlu dipupuk serta dimiliki manusia.

"Kita ke arah itu (penggunaan teknologi) tetapi ada juga peringatan sebab itu kita menggapai di langit, mengakar di bumi. Kenapa? Sebab sementara AI itu penting, tetapi ada juga masalah.

"… (AI) ada pengetahuan tetapi hilang kemanusiaan dan rendah akal budi. AI tidak ada nilai, tiada akhlak, tidak ada kemanusiaan. Hanya kepintaran," kata beliau.