Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan dukacita atas pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan yang terkorban ketika menjalankan tugas menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta warga Maritim Malaysia yang kehilangan rakan seperjuangan dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

​"Saya amat terkesan dengan pemergian Allahyarham dan kecewa dengan tindakan pihak yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.

"Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan ini menjadi sia-sia," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.