Kuala Lumpur : Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, mengakui bangga melihat semangat bekerja ditunjukkan bakat-bakat baharu industri sepertinya yang dilihat komited, bersungguh-sungguh dan sentiasa bersedia di set penggambaran.
Zarif atau nama sebenar, Zarif Farahi Effie Ghazzi berkata, selama pengalaman bekerja dengan rakan seangkatan membuat dia kagum melihat persediaan diri masing-masing untuk memahami karakter dibawa.
"Sebagai antara bakat baharu industri, saya bangga dan kagum melihat semangat kerja ditunjukkan oleh rakan-rakan lain. Saya tidak pamer (bakat) untuk bersaing, tetapi mahu memberi yang terbaik.
"Tiada yang lama, kalau tiada juga yang baharu. Saya tahu dalam industri ketika ini pun, masih ada nama besar yang hebat lakonannya seperti abang Beto Kusyairy. Dia (Beto) inspirasi buat kita.










