TAWAU: Isu kesihatan mental menjadi antara perkara utama dipersoalkan dalam pemeriksaan balas seorang bekas anggota ESSCOM yang menuntut ganti rugi RM20 juta daripada kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan berhubung penangkapan, penahanan serta pendakwaannya dalam kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing, tiga tahun lalu.

Koperal Mohd Azlan Sakaran, 43, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, adalah saksi kesepuluh pihak plaintif dalam perbicaraan tuntutan RM190 juta membabitkan tujuh bekas pegawai dan anggota ESSCOM di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Dalam pernyataan saksinya, Mohd Azlan berkata, penahanan, siasatan dan pendakwaan terhadapnya menyebabkan beliau mengalami kemurungan, kesengsaraan mental, trauma, kebimbangan dan tekanan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan kaunseling.