PETALING JAYA: Seramai 1,409 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih manfaat inisiatif Kerjaya Kedua Perwira dalam pelbagai sektor dengan gaji bulanan mencecah RM5,000.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan hasil usaha kementeriannya menerusi Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan kualiti hidup pasca perkhidmatan anggota ATM lebih terjamin dan bermaruah.

Katanya, peranan itu dilaksana melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi memperkasa anggota ATM yang bakal bersara mempersiapkan diri dengan latihan dan kemahiran yang strategik serta pengiktirafan kompetensi untuk menghadapi dunia pekerjaan pasca perkhidmatan.