SANAA: Kumpulan Houthi di Yaman pada Selasa mendakwa menyasarkan loji penapisan minyak terbesar Arab Saudi dengan peluru berpandu balistik, selepas melancarkan serangan yang mengganggu operasi pengeksport minyak mentah terbesar dunia itu sejak beberapa minggu lalu.

“Angkatan Tentera Yaman berjaya menyasarkan kilang penapisan Ras Tanura di Wilayah Timur dengan peluru berpandu balistik,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menerusi X, sambil mendakwa serangan itu menyebabkan kebakaran besar.

Seorang penduduk di bandar Al Khobar yang terletak berhampiran memberitahu AFP bahawa beliau terdengar letupan menjelang subuh dan menerima mesej amaran menerusi telefon bimbit.

“Kami menerima amaran pada telefon bimbit, kemudian terdengar bunyi letupan yang sangat kuat,” kata penduduk itu.