RIYADH: Arab Saudi mendakwa kumpulan Houthi melancarkan serangan terhadap Makkah dan Madinah semalam tetapi dapat ditangkis.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Arab Saudi, pihaknya berjaya memintas dua peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan terbabit, namun terdapat serpihan yang jatuh di dua wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, Houthi menafikan pihaknya menyasarkan kedua-dua bandar yang menjadi kota paling suci bagi umat Islam, dengan tidak teragak-agak menyifatkan tuduhan Arab Saudi sebagai pembohongan besar.

Petang semalam, Houthi dilaporkan melancarkan serangan terbaharu sehingga mencetuskan amaran kepada syarikat penerbangan, kakitangan lapangan terbang dan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh.