SINGAPURA: Air paip di republik itu kekal selamat diminum, meskipun keadaan jerebu bertambah teruk sejak kebelakangan ini.
Kementerian Kemampanan dan Sekitaran terpanggil membuat penjelasan itu susulan penularan klip media sosial memaparkan air hujan kehitaman seperti jelaga, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebilangan warga Singapura.
Menterinya, Grace Fu, menerusi satu video dimuat naik ke Facebook pada 24 Oktober, berkata ujian yang dijalankan oleh agensi air kebangsaan, PUB, tidak mendapati sebarang perubahan luar biasa pada mutu air dirawat Singapura.
Dalam video tersebut, Fu merujuk kepada hantaran media sosial yang menunjukkan air hujan berwarna kehitaman yang ditadah ketika jerebu.









