KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama kepada enam individu sempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

Mendahului senarai penerima Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) adalah Orang Besar Istana yang juga Presiden Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.

Turut menerima SPMS adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Berhad, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Dato Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) kepada Orang Besar Diraja yang juga Timbalan Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad, Datuk Richard Alexander John Curtis dan bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib @ Hamid.