KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pemuda daripada tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berikutan keterangan mangsa tidak konsisten dan meragukan.

Beliau berkata, antara perkara utama keraguan adalah percanggahan tarikh kejadian dalam laporan polis, laporan perubatan dan rakaman percakapan mangsa, selain keterangan saksi yang gagal menyokong dakwaan berkenaan.

Mahkamah turut mengambil kira percanggahan keterangan saksi berhubung kejadian yang didakwa berlaku di dalam sebuah kereta serta kelewatan mangsa membuat laporan polis.